Kenali Dan Fahami Antara Multilevel Marketing (MLM) & Skim Piramid | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Kenali dan Fahami antara Multilevel Marketing (MLM) & Skim Piramid

Kenali dan Fahami antara Multilevel Marketing (MLM) & Skim Piramid

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

Secara umumnya terdapat tiga jenis pelan di bawah perniagaan jualan langsung iaitu Berbilang Tingkat (Multi Level Marketing Plan), Satu Tingkat (Single Level Marketing Plan) dan Jualan Melalui Pesanan Pos (Mail Order). Semua jenis pelan perniagaan ini tertakluk kepada Akta Jualan Langsung and Skim Anti Piramid 1993 (AJLSAP 1993) dan Peraturan-Peraturan Jualan Langsung.  Di antara ketiga-tiga jenis pelan pemasaran tersebut, perniagaan MLM sering mendapat perhatian dalam kalangan pengguna dan masyarakat. Persoalannya ialah apakah yang dikatakan perniagaan MLM? MLM merupakan satu bentuk perniagaan yang memerlukan pembentukan rangkaian (networking) untuk membolehkan ahli berdaftar (pengedar) mendapat komisyen atau bonus atau insentif daripada syarikat apabila berjaya membuat jualan. Antara terma lain yang digunakan untuk MLM ialah ‘Network Marketing” dan “Referral Marketing”.

 

Bagaimanakah cara perniagaan ini berjalan?

Biasanya, syarikat akan mengambil atau melantik individu sama ada sebagai ahli atau pengedar untuk mengedar barangan syarikat mereka. Seterusnya, ahli (pengedar) berkenaan akan melantik individu lain (down line) bagi membentuk rangkaiannya menjual barangan syarikat. Proses pengambilan ahli (pengedar) baru boleh diteruskan sehingga satu peringkat yang telah ditetapkan. Ahli-ahli akan menerima komisyen atau bonus atau insentif daripadaa jualan peribadi mereka dan jualan ahli (pengedar) di bawah rangkaiannya (over-riding-bonus).

 

Sejarah dan Perkembangan MLM di Malaysia

Tiada satu sejarah rasmi yang didokumen bila bermulanya perniagaan MLM. Ada pendapat yang menyatakan ianya bermula sekitar tahun 1920-an manakala ada yang pendapat menyatakan ianya bermula sekitar tahun 1930-an dan 1940-an dengan pengenalan syarikat Nutrilite (California Perfume Company) yang kemudiannya dikenali sebagai “Avon” dan seterusnya. Memetik daripada satu sumber, MLM mula diasaskan sekitar tahun 1940-an oleh Profesor Carl Rehnborg daripada Universiti Chicago.  Beliau juga merupakan pengasas Nutrilite. Produk pertama yang mereka jual adalah vitamin dan makanan tambahan Nutrilife. Kaedah penjualan secara berperingkat yang diperkenalkan memberi keuntungan kepada penjual melalui (1) hasil jualan program makanan tambahan kepada pengguna (2) bentuk potongan harga dari jumlah produk yang berjaya dijual oleh ahli (pengedar). Kaedah ini telah menarik minat dua orang ahli perniagaan iaitu Rich DeVos dan Jay Van Andel yang merupakan pengasas “Amway Corporation” sekitar tahun 1950-an.

Sejarah perniagaan MLM di Malaysia pula bermula pada awal tahun 1970-an dengan kehadiran syarikat-syarikat asing daripada luar negara seperti Amerika Syarikat dan Taiwan yang mula memperkenalkan konsep perniagaan ini kepada masyarakat Malaysia. Sejak daripada itu perniagaan MLM semakin berkembang dan popular dalam kalangan pengguna di Malaysia.

 

MLM ini berbentuk sistem piramid di mana org paling atas untung atas angin?

Pelbagai pendapat ada menyatakan bahawa Skim Piramid dan MLM (Network Marketing) adalah perkara yang sama. Malahan ada pendapat lain punya menyatakan bahawa terdapat perbezaan antara keduanya.  Sekiranya diperhatikan secara rasional, struktur piramid dalam pelan pemasaran sesuatu MLM (Network Marketing) itu sama sahaja dengan struktur piramid yang terdapat dalam bisnes model yang lain. Jika bentuk piramid itu yang menjadi kayu pengukur sudah tentulah banyak syarikat perniagaan menjadi haram dan terpaksa ditutup. Pengguna atau pelabur perlu melihat kepada cara bagaimana sesuatu struktur organisasi perniagaan itu dibentuk.

Umumnya, skim piramid adalah skim penipuan untuk mendapatkan duit yang melibatkan pusingan duit dengan tujuan utamanya untuk mengajak lebih ramai orang masuk ke dalam skim tersebut tanpa melibatkan sebarang penjualan produk atau perkhidmatan. Biasanya, dengan pertambahan kemasukan ahli baru menyebabkan syarikat tidak mampu menganggung pembayaran kepada ahli terdahulu dalam strukturnya sehingga akhirnya skim ini akan tumbang dan menyebabkan ramai orang kehilangan wang mereka. Dalam bahasa paling mudah, keuntungan diperolehi hasil daripada memerkenalkan/mengambil ahli baru dan melupakan tentang pemasaran dan penjualan produl atau perkhidmatan.

Sekiranya sesuatu perniagaan (skim) itu tidak mempunyai produk perniagaan yang sah dan pengguna (pelabur) tidak akan mendapat sebarang pulangan modal melainkan mereka berjaya memperkenalkan sebilangan ahli baru untuk masuk ke dalam skim tersebut, ini merupakan dua perkara asas yang boleh dijadikan sebagai panduan dalam mengenalpasti sama ada sesuatu itu skim piramid atau tidak. Selain itu, skim juga mengenakan yuran pendaftaran yang tidak munasabah, harga barang yang dijual (sekiranya ada) lebih mahal daripada harga pasaran dan ahli tidak perlu menggunakan produk berulang kali.

Sekiranya perniagaan MLM itu berbentuk skim piramid yang menjalankan perniagaan berunsur perjudian, penipuan, penindasan dan lain-lain, hukum memiliki keuntungan atau kekayaan adalah haram dari segi syarak.

 

Tindakan sekiranya seseorang ditipu?

Sebelum seseorang itu mula terlibat dengan perniagaan MLM misalnya, saya menyarankan agar mereka perlu terlebih dahulu memahami jenis pelan pemasaran yang terdapat dalam jualan langsung. Pengguna atau pelabur juga perlu dapat membezakan antara perniagaan MLM dan skim piramid atau skim cepat kaya.

Sekiranya mereka ditipu, pengguna perlu membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia. Selain itu aduan juga boleh dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau ke BNMTelelink (Pusat Perhubungan Bank Negara Malaysia).

Pelabur juga disaran untuk bersikap pro aktif dengan membuat semakan dengan agensi penguatkuasa lain untuk pengesahan aktiviti perniagaan yang berkaitan misalnya Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Laman sesawang KPDNKK dan BNM adalah menyenaraikan status syarikat jualan langsung dan syarikat yang tidak lulus, sah dan berdaftar.

Statistik daripada pihak KPDNKK menunjukkan bahawa antara tahun 2005 sehingga Oktober 2013 sejumlah 50 buah syarikat jualan langsung telah dibatalkan lesen perniagaan mereka.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 22/02/2019 | Kemaskini: 22/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXDdJA4~