Inovasi Homestay Di Pulau Langkawi | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» ARTICLE » Inovasi Homestay di Pulau Langkawi

Inovasi Homestay di Pulau Langkawi

 

Oleh: Dr. Askiah binti Jamaluddin

 

Homestay adalah satu bentuk bisnes kecil yang dipelopori oleh penduduk pulau seperti Pulau Langkawi. Kebanyakan negara besar dunia menggalakkan homestay sebagai satu cara untuk membangunkan industri pelancongan.  Negara seperti Jepun, Thailand dan Indonesia  menjalankan perusahaan homestay  dengan aktif dan menitik beratkan gaya hidup lestari seperti menjalani kehidupan yang sederhana, tidak membazir dan meminimalkan penggunaan sumber yang ada. Selain itu, mengusahakan homestay berupaya menjana ekonomi keluarga penduduk Langkawi tanpa merosakkan alam sekitar.

Homestay membolehkan pelancong domestik dan luar negara menginap bagi merasai pengalaman budaya tempatan. Homestay adalah rumah atau bilik yang disewa oleh pelancong daripada keluarga atau penduduk tempatan. Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia perkataan Homestay menjurus kepada tuan rumah tinggal bersama penginap homestay.  Kementerian Pelancongan Malaysia telah memperkenalkan Kampungstay, yang mana pemilik rumah tidak tinggal bersama dengan penginap. Penginap boleh merasai pengalaman dan budaya kampung tersebut. Kampungstay sewajarnya diusahakan oleh pemilik tanah di kampung. Perusahaan ini telah berkembang di Pulau Langkawi. Individu yang mempunyai tanah boleh mengusahakan Kampungstay. Nama yang yang dipromosikan oleh pengusaha adalah berbeza-beza antaranya guest house dan roomstay.

Apa yang menariknya, terdapat pengusaha homestay yang memulakan bisnes dengan menyewakan bilik bilik di rumah mereka sendiri. Setelah bertahun mengusahakan homestay, mereka berusaha menambahkan lagi bilik sedia ada. Terdapat juga yang mampu membina rumah lain disebelah rumah asal untuk dijadikan homestay.  Pengusaha homestay di Pulau Langkawi sangat berpotensi besar dan mempunyai jaringan pelancongan yang sangat baik dengan pengusaha kereta sewa serts pemandu pelancong (tourist guide/nature guide).  Pengusaha dari kumpulan generasi kedua dan golongan muda, mempunyai pengetahuan penggunaan internet untuk mempromosikan homestay mereka. Ada yang mendaftarkan homestay mereka didalam Airbnb, booking.com dan pelbagai laman sesawang. Ini membolehkan mereka mempromosikan homestay bukan sahaja dalam negara, malahan ke serata dunia.

Penulis yang juga seorang pengkaji berkesempatan ke homestay Pekaka di Padang Matsirat. Sewaktu penulis sampai, penulis mendapati ada satu keluarga dari Amerika Syarikat sedang menikmati pemandangan dari anjung rumah penginapanya.  Rumah tradisional ini bersebelahan rumah pengusaha homestay.  Penginap ini menginap selama tiga hari dua malam bersama isteri dan seorang anak. Beliau sangat berpuas hati dengan rumah comel ini yang berada di tepi bendang dan menghadap Gunung Raya. Tingkap rumah tradisional terbuka luas dan laluan angin membuatkan penginap berasa selesa. Penginap dari luar negara ini  mendapat maklumat tentang Pekaka Homestay dari dalam Airbnb dan respon positif daripada penginap terdahulu.

Kemudian penulis ke Kampung Bukit Tangga dan berjumpa  seorang pengusaha homestay sejak tahun 1990an. Asalnya beliau dan suami terlibat dengan program homestay anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia dibawah cawangan Pulau Langkawi. Ketika itu, pusat pelancongan Pulau Langkawi membentuk program homestay di  enam buah kampung iaitu Kg. Bukit Tangga, Kg. Padang Lalang, Kg. Sg Itau, Kg. Wang Tok Rendong, Kg. Selat dan Kg. Pulau Tuba. Setiap kampung mempunyai pengerusi homestay dan mereka menjalankan program homestay bersama. Selain pelajar sekolah dan universiti, terdapat juga program golongan dewasa seperti rombongan persatuan dari pelbagai negeri termasuklah dari negeri Sabah dan Sarawak.  Ianya bukan sahaja terhad dari dalam negeri tetapi juga dari luar negara seperti China, Jepun dan Korea.

Pengusaha homestay ini menceritakan pengalaman beliau yang menerima pelajar dari Korea. Beliau berinteraksi secara gerak bahasa badan dan tangan dengan tiga pelajar Korea yang menginap di homestaynya. Mereka diberikan kain batik dan diajar cara memakai kain batik dengan betul. Ketika itu, semua pelajar Korea yang ditempatkan di kampung tersebut diajar menanam jagung di kawasan bendang. Pelajar ini sangat gembira dan ingin mencuba cara hidup penduduk kampung. Pengalaman ini amat bermakna bagi pengusaha homestay dan juga penginapnya.

Kini, anak-anak pengusaha telah dewasa dan ada yang berminat sebagai pengusaha homestay dan pelancongan.  Pengusaha asal bukan sahaja menambah bilik dalam rumahnya tetapi juga membina rumah penginapan  di sebelah rumah mereka. Beberapa rumah dibina seperti motel dan juga rumah sebuah. Ianya suatu bisnes yang menguntungkan bagi penduduk Pulau Langkawi. 

Kebaikan homestay ini membolehkan tuan rumah meningkatkan pendapatan keluarga. Pulau Langkawi dapat dijadikan pusat pelancongan yang lestari. Penginap dapat mengunakan sumber sedia ada di rumah tersebut, mengurangkan pembangunan hotel besar yang boleh merosakkan alam sekitar Pulau Langkawi. Tambahan pula, homestay dengan bajet yang murah dapat menggalakkan golongan M40 dan B40 melancong ke Pulau Langkawi dan beriadah bersama keluarga. Golongan ini berpeluang menikmati keindahan Pulau Langkawi yang dikenali sebagai pulau terindah di dunia. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengurangkan tekanan kerja dengan bercuti di sini. Selain itu, homestay menggalakkan kehadiran pelancongan domestik. Pelancong domestik dan luar negara memberi kekuatan kepada pertumbuhan ekonomi keluarga penduduk Pulau Langkawi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Kesimpulannya, perkataan homestay sudah digunakan oleh pelancong bukan sahaja tertakluk kepada definisi asal homestay.  Di Pulau Langkawi ia bermaksud rumah tamu, motel, inn dan roomstay yang dibina bersebelahan rumah dan tanah pengusaha homestay. Selain meningkatkan ekonomi keluarga, bisnes homestay membantu meningkatkan bisnes lain seperti bisnes kereta sewa,  bot pelancong ke kawasan alam semulajadi, kedai makan dan pelbagai produk keluaran Langkawi. Oleh itu, inovasi homestay di Pulau Langkawi digalakkan dalam kalangan penduduk tempatan.

 

Pemandangan dari homestay di Kg. Bukit Tangga
Pengusaha telah terlibat dengan program homestay sejak tahun 90an. Salah satu bilik yang telah ditambah.
   

 

 

 

 

Logo Homestay dibawah Program Kementerian Pelancongan Malaysia 
 Homestay yang dijalankan secara persendirian
 
   
Buah gajus yang amat jarang dijumpai kini. Pada tahun 80an, masih terdapat ladang besar pokok gajus di Pulau Langkawi.
Pulau Langkawi kini maju dan masyhur di dunia
   
Pekaka homestay diminati oleh pelancong asing.
Pengusaha homestay yang ramah menyambut kedatangan kami.`
   
Rumah berbentuk tradisional lebih digemari oleh pelancong asing. Warga Rusia dan German menginap di homestay Sri Kilim 

 

Mereka diajar budaya membasuh kaki sebelum masuk ke rumah. Dahulu, tempayan yang berisi air disediakan disetiap pintu rumah. Air dicedok dengan tempurung kelapa untuk membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah.

 

 


Penulis

Dr. Askiah binti Jamaluddin
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, FEM

"Penghargaan kepada Dr Hj. Ahmad Nasir Mohd Yusoff sebagai juruedit bahasa dan Puan Rozlita Puasa sebagai juruedit foto."
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 04/07/2019 | Updated: 04/07/2019 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEURAI~